BESUT, 10 Mei – Nasib golongan ibu tunggal asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut terus mendapat perhatian melalui inisiatif murni yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan syarikat korporat.
Program kebajikan tersebut menyaksikan kolaborasi antara Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), YPK Besut, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Besut.
Sebanyak 10 buah rumah ibu tunggal terpilih di sekitar Kampung Darau, Padang Baloh, Gong Resam, Cherang Melintang, Bukit Cina dan Durian Telor telah disantuni dalam siri lawatan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut,Mohd Husaimi Hussin berkata, bantuan berupa bakul makanan dan sumbangan wang tunai itu diserahkan bagi membantu meringankan bebanan kos sara hidup yang kian mencabar.

“Golongan ibu tunggal merupakan antara insan yang banyak berkorban demi keluarga. Justeru, kita berharap bantuan yang disalurkan ini sedikit sebanyak dapat memberikan kelegaan, semangat serta keceriaan kepada mereka,” katanya ketika ditemui media selepas program tersebut.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa sinergi antara agensi kerajaan dan pihak swasta amat penting bagi memastikan agenda kebajikan rakyat di peringkat akar umbi dapat dilaksanakan secara berkesan.
“Usaha menyantuni golongan yang memerlukan seperti ini perlu dilakukan secara berterusan melalui kerjasama pelbagai pihak agar kebajikan rakyat sentiasa terbela dan tiada yang terpinggir.
“Setinggi-tinggi penghargaan dirakamkan kepada YPKT, TNB, JKM serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Kita amat berharap lebih banyak inisiatif seumpama ini diteruskan demi kesejahteraan masyarakat setempat,” tambah beliau.

Hadir sama dalam siri lawatan tersebut adalah wakil-wakil daripada agensi terlibat yang turut turun padang bagi melihat sendiri keadaan penerima bantuan di kawasan masing-masing.
Tag :